Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


SUSPEK yang menikam jiran bilik sewanya sehingga mati di Jalan Theatre, Ipoh, Sabtu lalu masih dirawat dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu masih menerima rawatan di ICU HRPB selepas ditetak individu lain dalam pergaduhan yang masih belum diketahui motifnya.

Katanya, keadaan suspek yang parah menyebabkan polis masih belum dapat melengkapkan siasatan walaupun sudah mengambil keterangan seorang lelaki serta ibunya.

“Seorang lelaki berusia 30-an dan ibunya sudah diambil keterangan berikutan suspek ditetak oleh lelaki itu dan setakat ini lelaki itu tidak ditahan atau direman.

“Suspek masih ditempatkan di ICU HRPB dan keterangannya masih belum dapat dirakam,” katanya.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, warga emas, Chai Ah Kin, 83, maut di tempat kejadian, manakala suspek parah dan dirawat di HRPB.

Difahamkan, terdapat kesan tikaman objek tumpul dipercayai sudu di dada mangsa manakala suspek yang parah ditetak di kepala oleh individu lain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman dalam kenyataannya semalam berkata, mangsa dipercayai bergaduh dengan suspek sebelum ditikam dengan objek tumpul.

Menurutnya, seorang wanita yang juga penyewa bilik di bangunan itu mendakwa cuba meleraikan pergaduhan namun dicekik suspek menyebabkan anak lelakinya mengambil pisau pemotong daging dan menetak suspek.

Berita berkaitan

Gaduh: Mangsa maut ditikam sudu? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 2:44 PM