Kementerian Pendidikan beri perhatian sama rata terhadap penyelenggaraan dan pembaikan sekolah dalam negara. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan membaiki Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama Negeri.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan Kementerian Kewangan.

“Oleh itu, tanggapan mengatakan Menteri dan KPM tidak mengambil berat kebajikan murid dan sekolah, khususnya yang membabitkan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Mengenai peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina tahun ini yang berjumlah RM12 juta, jelas kementerian, ia bukan peruntukan daripada KPM.

“Sebaliknya ia adalah dana khas yang disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada sekolah-sekolah terbabit,” katanya.

Selain itu, kata KPM, laporan media sosial yang memberi gambaran seolah-olah kementerian hanya memberi penekanan kepada pembangunan sekolah Cina berdasarkan beberapa pengumuman dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching adalah tidak benar.

“Dalam kes yang dipertikaikan oleh beberapa pihak, peruntukan penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan kebelakangan ini adalah peruntukan yang diluluskan untuk 2018, dan bukannya peruntukan 2019.

“Memandangkan peruntukan itu adalah peruntukan 2018, maka KPM perlu menyalurkan peruntukan berkenaan ke Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) masing-masing sebelum penutupan akaun 2018,” katanya.

KPM berkata, kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2019 juga sudah meluluskan RM652 juta untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah.

Daripada jumlah berkenaan, katanya sebanyak RM527 juta diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (RM250 juta); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (RM50 juta); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (RM50 juta); Sekolah Berasrama Penuh (RM50 juta); Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM50 juta); Sekolah Mubaligh (RM50 juta); Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan/Conforming School (RM15 juta) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (RM12 juta).

“Manakala baki sebanyak RM125 juta diperuntukkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (RM50 juta) ;Sekolah Tahfiz (RM50 juta) dan Sekolah pondok yang berdaftar (RM25 juta)” kata KPM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 9:41 PM