GAMBAR tikus berhampiran makanan yang didakwa dirakam di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, semalam tular di Facebook (FB). FOTO Gambar tular di FB.
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@bh.com.my


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Johor, hari ini memaklumkan kantin Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, ditutup selama dua minggu bermula semalam sehingga 28 Februari nanti.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz, berkata tindakan penutupan itu berikutan pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mendapati pengusaha kantin gagal mematuhi beberapa piawaian di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, pemeriksaan itu adalah tindakan proaktif susulan aduan gambar tular memaparkan seekor tikus di tempat letak makanan yang didakwa berlaku di HSI, meskipun pihaknya masih tidak dapat memastikan kesahihan lokasi kantin dan masa gambar berkenaan diambil.

“Arahan penutupan kantin sudah dikeluarkan bagi membolehkan kerja pembersihan secara menyeluruh dijalankan dan hanya akan dibenarkan dibuka semula apabila tahap kebersihan dapat dicapai dengan sempurnanya serta mematuhi syarat ditetapkan.

“JKN Johor ingin memaklumkan kerja kawalan serangga dan haiwan perosak adalah satu daripada skop kerja penyelenggaraan Planned Preventive Maintenance (PPM) dalam program penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH),” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Dr Selahuddeen berkata, syarikat konsesi dilantik akan menjalankan kawalan tikus menerusi aktiviti pemeriksaan rutin dan PPM mengikut frekuensi ditetapkan iaitu pada setiap hari dan setiap bulan menggunakan pelbagai kaedah seperti penggunaan umpan dan perangkap serta menutup laluan tikus serta penghapusan tempat pembiakannya.

“Selain itu, pihak pengendali kantin mesti menjaga kebersihan di kantin dan menjalankan aktiviti kawalan makhluk perosak di lokasi sumber.

“Pelaksanaan aktiviti itu satu daripada satu skop kontrak dan tanggungjawab operator kantin dengan pihak hospital,” katanya.

Beliau berkata, JKN Johor dan HSI mengambil berat isu berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

Katanya, pihaknya akan sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan aktiviti pencegahan kerosakan serta kawalan makhluk perosak dijalankan pihak konsesi dan aktiviti pembersihan dilakukan pengusaha kantin.

“Pengguna boleh menghubungi JKN Johor atau PKD yang terdekat jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 9:29 PM