HOCK Hua (dua kiri) melayani tetamu yang hadir. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


DERETAN pelbagai menu Melayu terhidang atas meja antaranya roti jala, sate, tapai beras, bubur pulut hitam bagi menyambut tetamu yang hadir untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

Semua juadah itu disediakan di kediaman Chua Hock Hua, 48, di Kampung Padang Rokma, Tumpat, khas untuk rakan beragama Islam yang setiap tahun berkunjung ke rumahnya.

Hock Hua berkata, roti jala dan sate adalah menu wajib disediakan yang ditempah khas daripada pembuat berbangsa Melayu.

“Untuk hari ini saya menempah sebanyak lapan kilogram roti jala dan 500 cucuk sate, manakala juadah sampingan lain ditempah dari pembuat berasingan.

“Saya memang mengutamakan juadah sebegini kerana ramai rakan dari kaum Melayu yang datang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, sejak pagi tadi, ramai tetamu yang datang dan sebahagian daripadanya adalah dari kaum Melayu.

Rakannya, Rosdi Razali, 36, berkata setiap kali Tahun Baru Cina, dia akan berkunjung ke rumah Hock Hua yang menunjukkan kemajmukan kaum di negara ini.

Dia berkata, juadah yang disediakan Hock Hua dan isterinya, Wala Eron, 48, menepati seleranya dan menjadikan kaum lain tidak kekok menjamu selera dan meraikan perayaan itu bersama-sama.

“Mungkin persekitaran Hock Hua yang dikelilingi rakan Melayu serta rumahnya juga berada dalam kelompok kaum Melayu membuatkan dia turut mempunyai rasa hormat yang tinggi pada bangsa lain.

“Ia membuktikan bahawa kita saling menghormati dan tidak prejudis dengan budaya kaum lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 4:25 PM