Marzuki pada sidang media ketika hadir Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019. FOTO Danial Saad
BERNAMA

TIMBALAN Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan individu bahawa beliau menipu rakyat dengan menyatakan ada kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Cambridge.

Marzuki berkata, pihaknya akan mengemukakan bukti bahawa beliau pernah mengikuti kursus dalam bidang itu di universiti berkenaan.

“Bagi saya ini adalah satu daripada permainan politik. “Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara ini dan kita serahkan kepada polis, yang penting saya menjalankan tugas dengan baik tanpa ada masalah.

“Yang penting bagi kita ialah keutamaan untuk tugas, tanggungjawab dan negara kita.

“Insya-Allah saya akan kemukakan bukti, tapi bukan saya nak melaporkan kepada dia. Saya akan buktikan, tidak ada masalah,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Tahun Baru Cina bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

Semalam, aktivis politik Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Zulfahan Pagon yang mendakwa program pengajian jarak jauh (PJJ) bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti Marzuki itu tidak wujud di Universiti Cambridge.

Pemilik FB itu memuat naik status berkenaan pada 3 Februari lalu.

Marzuki yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang turut menyifatkan dakwaan itu sebagai lumrah biasa dalam perjalanan politiknya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit, Marzuki berkata:

“Kalau perkara ini berlarutan, kita akan cari jalan penyelesaian yang terbaik.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 3:24 PM