Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


SELEPAS hampir enam bulan diburu, lelaki yang menyerang dan memukul lelaki dikenalinya dengan kayu dan pisau Ogos lalu ditahan hari ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah bangsal di Kampung Sungai Siput, Lubok Merbau, Naka, Padang Terap jam 2.45 pagi bagi membantu siasatan susulan mangsa berusia 30 tahun cedera dan menerima rawatan di Hospital Sik sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, kejadian berlaku 12 Ogos lalu jam 5 petang apabila mangsa didatangi seorang lelaki ketika berada di kedai runcit di Kampung Sungai Siput, Lubok Merbau, Naka.

Menurutnya, lelaki terbabit tidak berpuas hati selepas mangsa menuduhnya mencuri buah-buahan di dusun bapa mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran.

“Tiba-tiba datang seorang lelaki lain yang juga suspek ditahan awal pagi ini terus menyerang dan memukulnya dengan kayu menyebabkan mangsa menahan dengan tangan sehingga kayu itu patah.

“Mangsa yang ketika itu berada di atas motosikal turut terjatuh dan cuba menyelamatkan diri namun dipukul sekali lagi dengan kayu oleh seorang lagi lelaki,” katanya hari ini.

Noh berkata, bimbang kejadian lebih teruk, mangsa terus mengambil motosikal untuk melarikan diri selepas melihat suspek mengambil pisau untuk menyerangnya.

“Bagaimanapun ketika melarikan diri itu dia terasa belakang kepalanya seperti terkena objek tajam sebelum terjatuh dan pitam sementara kedua-dua lelaki itu terus melarikan diri.

“Mangsa yang terselamat kemudian dirawat di Hospital Sik sebelum polis memburu suspek,” katanya.

Beliau berkata, selepas hampir enam bulan diburu akhirnya suspek berjaya ditahan hari ini.

“Suspek juga mengaku menagih syabu dan heroin selain semakan mendapati dia memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah, dadah dan orang dikehendaki.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 2:29 PM