TINGKAP geriji di bahagian dapur rumah Pengerusi Green Project Malaysia, Mohd Asri Abdul Khalek, 45, diumpil penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Permata, Ampang, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


AMPANG: Belum sempat disalurkan kepada penerima, wang sumbangan tabung kemanusiaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM10,000 lesap dilarikan penjenayah dalam kejadian pecah rumah di Taman Permata di sini, kelmarin.

Kejadian disedari mangsa yang juga Pengerusi Green Project Malaysia, Mohd Asri Abdul Khalek, 45, selepas memeriksa keadaan rumahnya, jam 10 malam.

Mohd Asri berkata, dia bersama ahli keluarga pulang ke kampung di Karak, Pahang, pagi kelmarin dan pulang ke rumahnya sebelum mendapati bahagian dapur berselerak.

“Saya perasan jeriji tingkap di bahagian dapur ada kesan diumpil. Bilik tidur juga didapati berselerak.

“Saya mendapati dua tabung sumbangan untuk disalurkan kepada pelarian di Syria yang diletakkan dalam bilik tidur utama hilang.

“Dianggarkan setiap tabung itu mengandungi wang tunai RM5,000 yang sepatutnya disalurkan kepada mereka selepas cuti Tahun Baharu Cina,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, wang tunai miliknya berjumlah RM10,000 dan barang keman turut lesap dilarikan penjenayah yang memecah masuk rumahnya.

“Secara keseluruhannya kerugian dianggarkan RM20,000 selepas dua tabung sumbangan dan wang tunai dan barang kemas milik saya dilarikan penjenayah terbabit.

“Sebelum ini, saya pernah berdepan insiden hampir sama apabila kereta diletakkan di halaman rumah dipecah penjenayah yang melarikan pembesar suara dan pemain cakera padat (CD),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi, semalam, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah. Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat berkaitan kes itu,” katanya.


KEADAAN bilik tidur yang berselerak selepas diselongkar penjenayah yang memecah masuk rumahnya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 7:57 AM