Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS kini sedang menunggu laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung kebakaran membabitkan 200 lot kedai di Uptown Puchong Permai, Subang Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, pihaknya sudah menerima 114 laporan berhubung kebakaran itu.

“Jika pihak Bomba mengesahkan kebakaran berkenaan mempunyai unsur khianat, maka polis akan memulakan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Setakat ini dua daripada laporan itu mendakwa terdapat unsur khianat yang menyebabkan kebakaran kedai mereka,” katanya ketika ditemui di Subang Jaya, hari ini.

Risikin berkata, pihaknya masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Pemantauan masih diteruskan sehingga polis menerima laporan forensik bomba dan menjalankan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JPBM Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya masih lagi menyiasat punca kejadian kebakaran berkenaan.

“Semua bahan dan barang yang diambil dari lokasi kini sedang dianalisis di makmal forensik bomba.

“Kebiasaannya ia mengambil tempoh seminggu sebelum keputusan diperolehi,”katanya.

Semalam, sekumpulan peniaga Uptown Puchong Permai mendakwa kebakaran dipercayai mempunyai unsur khianat dan bukan disebabkan litar pintas.

Seorang peniaga Zamal Hassan, 44 dilaporkan berkata, tapak terbabit dipercayai sengaja dibakar individu tidak bertanggungjawab.

“Kalau tengok ketika api mula terbakar dari sebuah gerai bukan berpunca dari litar pintas kerana ketika itu pasar ini tidak beroperasi.

“Sebarang bentuk peralatan elektrik juga tidak digunakan ketika kebakaran berlaku,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Syak ada unsur khianat
  • Uptown Puchong Permai terbakar
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 3:01 PM