Khairul Azran Hussin
khaiazr@bh.com.my


JAWATANKUASA Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, dekat Shah Alam, memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Koroner sebelum ini yang menolak permohonan jawatankuasa itu untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam M Visvanathan berkata, jawatankuasa kuil itu wajar diberikan hak untuk turut mengambil bahagian dalam prosiding inkues berkenaan.

“Kita persoalkan keputusan mahkamah yang menolak permohonan jawatankuasa ini. Peranan yang dimainkan jawatankuasa ini sepanjang kes berlaku wajar mendapat pertimbangan mahkamah.

“Kita jangkakan pendengaran kepada permohonan semakan akan berjalan pada Khamis atau Jumaat ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan semakan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Pada 31 Januari lalu, Mahkamah Koroner menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield dan 50 penganut Hindu kuil itu untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad, membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak jawatankuasa kuil yang diwakili peguam M Visvanathan dan R Karna serta peguam Siti Zabedah Kassim yang mewakili kumpulan penganut itu dalam prosiding di hadapannya.

Ketika membaca keputusannya, Rofiah berkata, permohonan itu ditolak selepas melihat kedua-dua pihak tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah dalam prosiding terbabit.

Pada prosiding lalu, Rofiah sudah membenarkan peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Mansoor Saat, menjadi peguam pemerhati dalam inkues berkenaan.

Pada 18 Januari lalu, Rofiah memutuskan hanya pihak berkepentingan iaitu peguam bagi ahli keluarga dan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) boleh mengemukakan soalan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Berita berkaitan:

  • Permohonan ditolak [METROTV]
  • Allahyarham Muhammad Adib
  • Rusuhan Kuil Maha Mariamman
  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib

    Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 12:29 PM