KEADAAN kereta Getz dan saga yang terlibat kemalangan. FOTO ihsan Polis
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


DUA lelaki termasuk seorang warga emas maut selepas kereta dipandu masing-masing bertembung di Kilometer 3, Jalan Rim-Nyalas, Jasin, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa G Kumaresan, 24, dan Chin Boon Peng, 70, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, kemalangan belaku apabila Hyundai Getz dipandu Boon Peng dari arah Nyalas ke Jasin dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta dipandu warga emas itu kemudian bertembung dengan Proton Saga dipandu pemuda berumur 24 tahun.

“Akibat kemalangan, kedua-dua pemandu maut di tempat kejadian manakala seorang penumpang hadapan Hyundai Getz cedera di bahagian dada dan dikejarkan ke Hospital Jasin,” katanya, ketika dihubungi di Jasin, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 12:04 PM