Gambar hiasan
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


RAKYAT Malaysia disaran mengambil tindakan melakukan pengesanan kanser pada peringkat awal memandangkan ia aspek penting yang perlu ditekankan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dianggarkan 60 peratus kanser di negara ini dikesan pada tahap lewat iaitu tiga serta empat dan antara faktor penyumbangnya ialah kurang kesedaran mengenai kepentingan menjalankan ujian saringan dan pengesanan awal.

Menurutnya, kanser kini adalah penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Tiga jenis kanser yang tertinggi dalam kalangan lelaki adalah kolorektal (16.4 peratus), paru-paru (15.8 peratus) dan nasopharynx (8.1 peratus), manakala dalam kalangan wanita adalah payudara (32.1 peratus), kolorektal (10.7 peratus) dan serviks (7.7 peratus).

“Beban penyakit kanser dijangka meningkat disebabkan oleh prevalen faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang tinggi dan populasi menua (aging population) di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini sempena Hari Kanser Sedunia.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan KKM di seluruh negara.

Katanya, saringan bagi individu berisiko tinggi untuk kanser tertentu seperti hati, prostat dan nasopharynx boleh didapati di hospital Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang akan dilaksanakan pada Mac ini menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Katanya, untuk Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam pula diperkenalkan untuk membantu Kumpulan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan untuk 36 jenis penyakit kritikal, yang turut merangkumi kanser.

“Kerajaan memperkenalkan kedua-dua skim ini untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan bebanan kos rawatan dan meningkatkan kualiti hidup Kumpulan B40.

“Justeru, marilah kita bersama mengambil tindakan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan menjalani ujian saringan dan mengenali tanda dan gejala awal kanser.

“Kita juga perlu bersama memerangi mitos, infomasi tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat enggan menjalani saringan, enggan atau melambat-lambatkan rawatan awal dan percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sempena Hari Kanser Sedunia 2019, pelbagai aktiviti dirancang oleh Kementerian Kesihatan dan organisasi bukan kerajaan, persatuan dan kumpulan sokongan pesakit kanser di seluruh negara serta di pelbagai peringkat.

Katanya, setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengurangkan beban kanser yang saban tahun semakin meningkat.

Hari Kanser Sedunia disambut 4 Februari setiap tahun bertujuan mencegah berjuta kematian akibat kanser yang boleh dielakkan dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti.

Tahun ini menggunakan tema baharu ‘Saya Akan dan Saya Boleh’ iaitu untuk tempoh tiga tahun (2019 hingga 2021).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 11:49 AM