GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


BERPURA-PURA sebagai pelanggan sebelum melarikan pelbagai jenis baju dari kedai di Batu Kawa, Padawan, kelmarin.

Itu modus operandi dua lelaki berusia 16 dan 41 tahun yang akhirnya menjerat diri selepas tindakan mereka disedari pemilik kedai berkenaan pada 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, suspek pada mulanya masuk ke kedai berkenaan dan berpura-pura memilih pakaian.

Menurutnya, selepas beberapa minit berlegar di ruang pameran premis, suspek kemudian bergegas keluar dengan membawa tiga plastik pakaian tanpa membuat sebarang pembayaran.

“Suspek keluar dalam keadaan tergesa-gesa kerana tidak mahu tindakan mereka disedari pemilik mahu pun pekerja premis.

“Namun, pemilik premis yang curiga dengan tindakan itu kemudian mengekori suspek hingga ke kereta sebelum menahan mereka,” katanya.

Aidil berkata, pemeriksaan lanjut menemui tiga bungkusan plastik mengandungi baju T pelbagai jenama milik premis berkenaan.

Katanya, suspek kemudiannya diserahkan kepada tindakan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 11:20 AM