Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


KETERUJAAN pembantu jualan memiliki telefon bimbit iPhone 7 Plus dengan hanya RM760 bertukar duka apabila wanita itu diperdaya sindiket menyebabkannya kerugian RM3,260.

Wanita dari Taman Temerloh Jaya, Temerloh itu diperdaya sindiket yang mengiklankan telefon pintar berkenaan di laman laman sosial, Instagram pada harga murah berbanding pasaran yang dijual antara RM1,900 hingga RM3,100.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pembantu jualan di kedai pakaian itu melihat iklan berkenaan Jumaat lalu dan menghubungi penjualnya melalui WhatsApp sebelum bersetuju membelinya.

“Dia kemudiannya membuat bayaran RM760 menggunakan perbankan dalam talian, bagaimanapun penjual menghubunginya kembali dan memaklumkan pengadu perlu membayar RM1,100 untuk insurans kerana telefon pintar itu dibawa dari luar negara.

“Pengadu kemudian membuat pindahan wang ke dalam akaun diberikan namun selepas itu penjual itu menghubunginya semula dan memintanya memasukkan RM1,400 untuk urusan pos dari luar negara pula.

“Penjual itu menyatakan wang berkenaan akan dipulangkan dalam masa lima minit, namun selepas pembayaran dibuat...penjual itu masih lagi meminta wang,” katanya hari ini.

Mohd Wazir berkata, wanita itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kelmarin selepas mengesyaki sesuatu kerana penjual masih lagi meminta wang sedangkan pembayaran sudah dibuat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 10:41 AM