ANGGOTA APMM memeriksa bot yang dirampas . FOTO ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menahan lapan nelayan bersama tiga bot dalam tangkapan berasingan, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, tangkapan pertama pada 3 pagi membabitkan dua buah bot rawa sorong, 1.4 batu nautika dari muara Tanjung Dawai.

Beliau berkata, tangkapan kedua pula dilakukan pada 6.30 pagi membabitkan bot kelas A bersama lima nelayan tempatan.

"Mereka dipercayai melakukan kesalahan kerana menjalankan aktiviti menangguk siput menggunakan sangkar besi sedangkan bot berkenaan hanya dibenarkan menjalankan aktiviti pukat hanyut.

"Dua bot rawa sorong bersama peralatan menangkap ikan beserta enjin bot dianggarkan bernilai RM37,000 dan 100 kilogram hasil siput berjaya dirampas," katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Mahmad Faizal berkata, ketiga-tiga bot berkenaan kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Justeru itu, beliau mengharapkan kerjasama orang ramai dan komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

"Sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 10:07 AM