ANTARA siling rumah yang rosak akibat dibadai ribut. FOTO/NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


SEBANYAK 22 rumah di Taman Dato Shahardin, Labu, Seremban rosak akibat dibadai ribut, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kejadian 7.30 malam itu mengakibatkan bumbung kediaman diterbangkan angin.

Katanya, 98 penghuni kediaman membabitkan 40 lelaki dewasa, 34 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan dipindahkan ke Balairaya Taman Dato Shahardin, Labu Hilir.

"Siasatan polis mendapati 22 kediaman rosak akibat ribut yang melanda. Semua mangsa buat masa ini dipindahkan ke balai raya berdekatan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 12 anggota bomba dan empat polis menawarkan bantuan kepada mangsa terbabit.

"Setakat ini mangsa sedang menunggu bantuan bersesuaian oleh pihak berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 8:11 AM