Tiga ahli Geng Saga Merah termasuk dua beradik dipenjara lapan tahun dan empat sebatan. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


TIGA ahli Geng Saga Merah termasuk dua beradik dipenjara lapan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan merompak dengan besi.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Norashraf Mujahid Mamat Yasmi, 34, dan adiknya, Norshah Fifi, 30, serta Mohd Hakimi Mat Nor, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari 17 Jun 2018.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan dengan bersenjatakan besi melarikan motosikal jenis Honda C70 di sebuah rumah di Lorong Tengku Ahmad, Jalan Atas Banggol, Kota Bharu jam 9 pagi, 16 Jun 2018.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar manakala dua beradik itu diwakili peguam AS Dhaliwal manakala tertuduh ketiga tidak diwakili peguam.

Ketiga-tiga tertuduh memohon kepada mahkamah dikenakan hukuman ringan terhadap kesalahan itu selain mengakui sudah insaf.

Difahamkan, ketiga-tiga tertuduh kini menjalani hukuman penjara selama enam tahun di Penjara Pengkalan Chepa atas kesalahan rompakan.

NSTP sebelum ini melaporkan, polis berjaya menumpaskan Geng Saga Merah yang melakukan samun ketika orang lain sedang menyambut hari raya.

Dalam tempoh 9 jam pada malam hari raya pertama, ketiga-tiga suspek terbabit dalam enam kes samun, ragut dan curi bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 4:23 PM