Anggota polis bersama penduduk sama-sama membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Nerasau. FOTO Ihsan Polis
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


LEBIH 20 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau meluangkan masa hujung minggu apabila membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Nerasau, Rembau menerusi program khidmat masyarakat hari ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya meluangkan masa empat jam membersihkan semua kubur bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, kerja yang dilakukan adalah memotong rumput, menebas lalang, membetulkan batu nisan dan mengutip sampah.

“Program ini adalah khidmat masyarakat yang dapat ditawarkan oleh polis.

“Ia bertujuan mendekatkan diri dengan penduduk selain mengeratkan silaturahim,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Roshimi Ali; Imam 2 Masjid Kariah Kampung Nerasau, Ariffin Dahalan serta 40 penduduk kampung.

Katanya, lebih 50 kubur dibersihkan selain ada di antaranya dicat semula.

“Selain memberi tumpuan dalam aspek menangani kes jenayah, kami tidak lupa tanggungjawab seperti ini kepada masyarakat.

“Program sebegini memupuk kerjasama antara dua pihak dan akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, ia juga mewujudkan interaksi dan sosialisasi yang bersesuaian dengan moto ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 3:38 PM