Antara barangan cuba diseludup keluar ke negara jiran yang dirampas PPM Wilayah 5. FOTO ihsan PPM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


KAPAL tukaran barang dari Indonesia menjadikan jeti persendirian di kawasan pesisir pantai Sematan, sebagai ‘port’ menyeludup keluar barangan terkawal negara ini.

Tindakan itu berjaya dikesan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak selepas terserempak dengan kapal berkenaan dalam keadaan mencurigakan, 12.05 tengah malam, kelmarin.

Difahamkan, kapal tukaran barang dari Indonesia terbabit sering berlabuh di jeti persendirian di pesisir pantai daerah itu bagi membawa pelbagai barangan, antaranya pakaian terpakai.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan dikendalikan juragan dan empat anak kapal warga Indonesia berusia 22 hingga 48 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam kapal berkenaan menemui pelbagai barangan terkawal dan bercukai antaranya beras, tong gas dan minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM64,000.

“Juragan kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan bayaran cukai daripada pihak berkuasa negara ini untuk membawa keluar semua barangan yang ditemui.

“Semua barang yang ditemui dipercayai dibawa ke jeti berkenaan sebelum dimasukkan ke dalam kapal seterusnya diseludup keluar ke Indonesia,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Salehuddin berkata, pihaknya memandang serius kegiatan kapal tukaran barang asing yang menjalankan kegiatan penyeludupan keluar barang terkawal dan bercukai dari negara ini.

Katanya, kegiatan berkenaan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sekiranya tidak dibendung secara menyeluruh, termasuk kehilangan kutipan cukai.

“Polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang bersekongkol untuk menyeludup keluar barang dari negara ini,” katanya.

“Semua barangan yang dirampas diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 2:46 PM