PATI yang ditahan selepas menyusup masuk ke negara ini. FOTO Ihsan PPM
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


TIDAK sampai enam jam tiba di negara ini, lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas hasil tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) di Pulau Ketam, Klang semalam.

Semua PATI berkenaan dipercayai tiba jam 4 pagi sebelum diberkas pihak berkuasa jam 9.30 pagi di pulau berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, siasatan awal mendapati lapan PATI termasuk tiga wanita berusia 23 hingga 46 tahun itu menaiki bot pancung menerusi laluan tikus dari Tanjung Balai, Indonesia.

Menurutnya, bayaran dikenakan kepada setiap seorang PATI kepada penyeludup adalah RM800.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota diarahkan menangkap warga asing berkenaan yang bersembunyi di beberapa lokasi di sekitar pulau itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua PATI berasal dari Medan, Indonesia.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan PATI berkenaan akan bergerak ke bandar di sekitar daerah ini untuk bekerja secara haram dengan menaiki feri dari pulau berkenaan.

“Mereka kemudian dibawa ke markas operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 2:24 PM