Anggota bomba mengeluarkan dua beranak yang tersepit dalam kemalangan hari ini. FOTO Ihsan Bomba

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

DUA beranak parah akibat tersepit selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Muty Othman, 63, dan anak perempuannya, Nur Ain, 32, parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang depan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.15 pagi.

“Tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta Perodua Viva dan kereta Volkswagen Passat di lokasi kejadian.

“Pemandu dan penumpang depan kereta Perodua Viva tersepit di dalam kenderaan sebelum mereka berjaya dibawa keluar beberapa minit kemudian," katanya hari ini.

Norizham berkata, suami isteri berusia lingkungan 20-an yang menaiki kereta Volkswagen Passat itu tidak mengalami kecederaan.

“Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menaiki kereta Perodua Viva bersama ibunya (Nur Ain) tidak cedera, namun dalam keadaan trauma.

“Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 1:21 PM