MOTOSIKAL mangsa. FOTO Ihsan Polis
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


PENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi maut selepas parah akibat terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 185.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Bemban, di Jasin, hari ini.

Mangsa, Amirul Akmal Md Taib, 24, yang juga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) disahkan meninggal dunia, jam 4.15 petang, selepas kira-kira lima jam dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Honda CBR dan dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Toyota Camry dipandu lelaki berusia 46 tahun juga dari arah sama.

“Siasatan awal dilakukan mendapati kejadian dipercayai berlaku, apabila Toyota Camry yang berada di lorong kanan mengubah haluan masuk ke kiri apabila tiba berhampiran susur R&R.

“Mangsa yang ketika itu berada di lorong kiri dipercayai tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian belakang kereta berkenaan lalu tercampak kira-kira lima meter ke tengah jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan dalam kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta kerjasama orang awam yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 7:49 PM