GAMBAR hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


DUA lelaki ditahan dipercayai melakukan ugutan jenayah ke atas peniaga kain langsir di kedainya di sekitar daerah Kuantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali, berkata, kedua lelaki berusia 32 dan 36 tahun itu ditahan selepas mangsa yang juga lelaki berusia 45 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuantan, malam tadi.

“Siasatan awal mendapati dua suspek datang ke kedai mangsa pada 2.30 petang semalam dan menegur tindakan lelaki berkenaan memuat naik komen berunsur penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Suspek kemudian datang semula ke kedai mangsa beberapa kemudian dan memaki lelaki terbabit dan mengajaknya bergaduh,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kini ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Mohd Noor berkata, siasatan berhubung komen berunsur penghinaan yang dibuat mangsa ke atas Yang di-Pertuan Agong, kelmarin kini dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan menerima laporan polis berhubung kenyataan berunsur penghinaan yang didakwa dibuat pengguna Facebook (FB), semalam.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan meminta orang ramai memberi ruang kepada polis melakukan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Pengguna FB terbabit didakwa menulis kenyataan menghina itu ke atas gambar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tengku Ampuan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Berita berkaitan:

  • Polis Pahang terima laporan individu hina Agong
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 2:38 PM