Keadaan dapur sebuah premis dalam operasi malam tadi. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


TIGA restoran yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam diarah tutup 14 hari selepas pemeriksaan mendapati ada lipas di premis makanan itu malam tadi.

Notis arahan tutup itu dikeluarkan serta-merta oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Imigresen Selangor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, tiga restoran itu diarahkan tutup mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas pihaknya menjumpai hurungan lipas di kawasan berdekatan dapur.


Hurungan lipas yang ditemui di sebuah premis makanan. FOTO Faliq Lajim

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan tujuh notis amaran serta enam kompaun dalam pemeriksaan itu terhadap lima restoran termasuk tiga premis yang diarahkan tutup.

“Antara kompaun yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada suntikan TY2 (anti-typhoid) dan kesalahan ini mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Establishmen Makanan MBSA 2007.

“Selain itu, kompaun membabitkan kesalahan membuang sisa makanan ke dalam longkang awam, tidak menggunakan tong sampah ditetapkan dan tandas tidak diselenggara dengan baik mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan.

“Kita juga mengeluarkan kompaun mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan kerana menggunakan lorong belakang sebagai tempat penyediaan makanan,” katanya ditemui dalam operasi itu.

Mohd Rashidi berkata, selain operasi kebersihan pihaknya turut menyita kerusi, meja serta barangan lain di tiga premis berlainan berikutan meletakkan peralatan di laluan pejalan kaki.

“Sebanyak 174 kerusi, meja dan pelbagai barangan perniagaan lain dirampas selepas didapati melakukan kesalahan meletakkan halangan di laluan pejalan kaki serta petak parkir.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada antara restoran itu pernah diserbu sebelum ini namun masih tegar melakukan kesalahan sama.

“Selain itu, ada juga pemilik restoran didapati memohon permit untuk meletakkan kerusi dan meja di luar premis namun mereka meletakkan jumlah barang terbabit melebihi angka dibenarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 2:23 PM