Antara penagih yang ditahan AADK Negeri Sembilan pada operasi dijalankan. FOTO Ihsan AADK
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


SUAMI isteri yang dalam proses perceraian ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan kerana menagih syabu bersama di rumah di Senawang, dekat Seremban, semalam.

Pengarah AADK negeri, Nazira Sadiron berkata, kedua-dua suspek berusia 22 tahun diberkas pihaknya sebaik ibu mereka membuat aduan berkaitan perkara itu.

Katanya, ibu pasangan terbabit memaklumkan hilang sabar sebaik kediaman mereka dijadikan lokasi penagihan dadah sejak setahun lalu.

“Pada operasi yang dijalankan, anggota kami turut menahan adik lelaki pasangan itu berusia 19 tahun. Ketiga-tiga suspek difahamkan menagih dadah di rumah itu yang kepunyaan nenek mereka,” katanya.

Menurut Nadira, siasatan mendapati pasangan itu dalam proses perceraian dan prosiding kes sedang berjalan di mahkamah.

“Pasangan ini memiliki seorang bayi lelaki berusia dua tahun dan punca penagihan disebabkan tekanan perasaan,” katanya.

Nazira berkata, operasi bermula 10.30 malam, kelmarin hingga 8.30 pagi semalam juga menahan dua penagih lelaki berusia 20-an di Paroi dan Bandar Seremban, di sini.

“Operasi bertujuan membendung aktiviti penagihan dadah dalam kalangan masyarakat. Hasil operasi, empat lelaki dan seorang wanita ditahan, malah ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya lagi, pemerhatian pihaknya mendapati wanita amat mudah menagih dadah sekiranya berdepan masalah atau tekanan perasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 11:09 AM