KOMEN yang dimuatnaik netizen yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong. FOTO Facebook
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
am@hmetro.com.my


POLIS Pahang mengesahkan menerima laporan polis berhubung kenyataan berunsur penghinaan yang didakwa dibuat pengguna Facebook (FB), semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan laporan polis diterima pihaknya dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Saya sahkan menerima laporan itu dan beri kami ruang untuk siasat,” katanya di Kuantan, hari ini.

Pengguna FB terbabit didakwa menulis di ruangan komen dengan kenyataan menghina iaitu “muka macam ‘end of the World’ hihi” ke atas gambar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tengku Ampuan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Komen itu yang kini tular di FB mendapat kecaman pelbagai pihak yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas pelakunya.

Sementara itu, terdapat rakaman video berdurasi 1 minit 37 saat memaparkan dua lelaki cuba meminta penjelasan daripada lelaki yang dipercayai membuat kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong, semalam di premis kedai di Kuantan.

Dalam pada itu, Mohd Zakaria meminta orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri dan memberikan ruang kepada polis menjalankan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam laporan polis yang dibuat berasingan semalam, kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan parti politik di negeri ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang lagi pengguna laman sosial Facebook yang didakwa menghina Al-Sultan Abdullah.

Mereka mendakwa individu terbabit bertindak kurang ajar dengan memuat naik kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 10:53 AM