Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Mampu menjana lebih RM10 juta sebulan hasil daripada lapan laman web judi dalam talian.

Itu keuntungan diperolehi satu sindiket judi dalam talian yang beroperasi di tiga premis di Kondominium Mahkota Garden, Cheras di sini.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket berkenaan terbongkar apabila tiga premis berkenaan diserbu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian
dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Dalam serbuan bermula jam 9 pagi itu, seramai 16 individu termasuk tiga wanita ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan judi dalam talian di tiga premis berasingan itu.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama D7 Bukit Aman susulan aduan awam berhubung kegiatan judi dalam talian.

Katanya, hasil serbuan, 16 individu berusia 20 hingga 30 tahun yang disyaki pekerja mengendalikan aktiviti perjudian berkenaan ditahan.

“Semua suspek adalah warga tempatan dan mereka dikatakan dibayar gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk mengendalikan operasi judi dalam talian ini.

“Hasil serbuan, kami merampas 22 monitor, 11 CPU, tiga komputer riba, dua tablet, 42 telefon pintar, 30 simcard, dua alat peranti SMS Blaster, modem dan router.


ANGGOTA polis mengumpulkan peralatan sindiket yang dirampas.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan pusat operasi bagi kegiatan judi dalam talian dan mereka didapati sudah beroperasi lebih enam bulan dengan menyasarkan kaki judi tempatan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Mohd Khaizam berkata, sindiket berkenaan didapati mempromosikan kegiatan judi terbabit menerusi laman sosial terutama WeChat bagi mendapatkan pelanggan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sindiket menggunakan lapan laman web judi yang menawarkan permainan judi seperti mesin slot, kasino, rolet dan sebagainya kepada pelanggan.

“Keuntungan bagi satu laman web yang popular mampu menjana pendapatan antara RM2 juta hingga RM3 juta sebulan.


SMS blaster yang digunakan sindiket untuk menjalankan promosi aktiviti perjudian.

“Namun bergantung kepada laman web digunakan ada yang popular digemari pemain dan ada juga yang kurang diminati.

“Manakala jumlah pertaruhan dicatatkan mencecah RM4 juta sebulan.

“Sindiket didapati menggunakan enam akaun bank tempatan bagi urusan keluar masuk duit pelanggan yang berjudi,” katanya.

Jelasnya, semua suspek terbabit di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan mengikut Seksyen 4(1)(c)
dan Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenalpasti
dan menangkap dalang utama sindiket judi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 10:35 AM
PEKERJA sindiket ditahan dalam operasi D7 di sebuah kondominium di Cheras.