KEADAAN kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan dengan lori bawa ayam di Kilometer 82, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Bukit Besi, Dungun, malam tadi. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


DUA parah apabila Proton Saga dinaiki mereka merempuh tayar belakang lori dalam kemalangan di Kilometer 82, Jalan Jerangau-Jabur, dekat simpang tiga Universiti Teknologi Mara UiTM Bukit Besi, di Dungun, malam tadi.

Pemandu lori, Yusmaiza Yusof, 30, berkata, kereta dinaiki dua sahabat itu keluar simpang sebelum merempuh lorinya.

“Kereta itu keluar dari simpang dengan laju sebelum merempuh tayar belakang lori,” katanya.

Dalam kejadian 12.15 pagi itu, penumpang kereta Muhammad Fazli Abdul Kapar, 21, parah di kepala dan muka, manakala rakannya yang juga pemandu, Abdul Muiz Zulfadli Ab Wahab, 21, parah pada kaki.

Ketika kejadian, kereta Proton Saga dinaiki dua sahabat itu dalam perjalanan dari kedai makan di Bukit Besi menghala pulang ke rumah mereka di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS).

Bagaimanapun, sebaik tiba di persimpangan itu, kereta itu dipercayai mengalami kerosakan brek sebelum merempuh tayar belakang lori.

Yusmaiza berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan 192 bakul plastik berisi 1,920 ekor ayam bertaburan di atas jalan.

“Ketika kejadian, saya bersama dua lagi adik, Yuswadi, 27 dan Yusmawi Yusof, baru sahaja mengambil ayam di Gambang, Pahang untuk dihantar ke kilang memproses ayam di Sungai Rengas, Kuala Terengganu.

“Kami tiga beradik merangkak keluar melalui tingkap cermin dan bersyukur tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka kemudian membantu dua sahabat terbabit yang tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum meminta bantuan penduduk kampung.

“Dua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ambulans ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.

“Pada mulanya, saya menyangka pemandu dan penumpang kereta itu akan meninggal kerana rempuhan yang kuat dan keadaan keretanya yang remuk,” katanya.

Katanya lagi, kemalangan itu menyebabkan dia mengalami kerugian hampir RM5,000 selepas 900 ekor ayam dibawanya mati.

“Sebahagian lagi ayam yang masih hidup dipindahkan ke lori lain untuk dibawa ke Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 9:24 AM