FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

SEBANYAK 6,284 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara sepanjang 2018, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Bagaimanapun, menurutnya jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 456 kematian berbanding 6,740 kematian pada 2017.

“Walaupun ada penurunan tetapi kita tidak boleh berasa lega kerana 6,200 orang meninggal dunia tahun lalu, itu satu angka yang sangat besar.

“Bagi pihak kementerian, kita memang setiap tahun mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan kadar kematian, kalau boleh kita hendak sifarkan bilangan kematian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen PETRONAS Coffee Break di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu Loke berkata, kementeriannya akan melancarkan silibus baharu mengenai keselamatan jalan raya dalam buku teks dengan kerjasama Kementerian Pendidikan pada bulan ini.

“Kita akan serapkan unsur keselamatan jalan raya dalam kurikulum pendidikan. Itu antara langkah untuk membudayakan aspek keselamatan jalan raya dalam minda anak-anak kita di bangku sekolah,” katanya.

Seterusnya Loke berkata, kerajaan masih menunggu maklum balas syarikat insurans berhubung cadangan kementerian memberi ganjaran berupa diskaun insurans kereta buat ‘pemandu berhemah’ di jalan raya.

“Saya sudah sampaikan cadangan kepada PIAM (Persatuan Insurans Am Malaysia) untuk mereka perkenalkan satu mekanisma bagi melaksanakan insentif seperti diskaun insurans kereta buat pemandu yang tidak ada saman trafik untuk tempoh tertentu.

“Kami harap untuk sekurang-kurangnya dapat membuat pengumuman dan melaksanakan insentif berkenaan tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata rakan sejawatannya dari Singapura, Khaw Boon Wan akan melawat Malaysia hujung bulan ini bagi membincangkan pertikaian berkaitan ruang udara kedua-dua negara.

Bagaimanapun Loke tidak mengulas lanjut mengenai perbincangan itu.

Terdahulu, kempen PETRONAS Coffee Break oleh PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) sempena ketibaan Tahun Baru Cina dan pelancarannya turut dihadiri Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin.

Sepanjang tempoh kempen, orang ramai boleh menikmati minuman kopi dan snek percuma di 150 stesen Petronas yang mengambil bahagian di seluruh negara pada 2 dan 3 Feb, serta 9 dan 10 Feb.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 8:06 PM