Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


BANGKAI ikan lumba-lumba dipercayai spesis ‘Bottlenose’ ditemui terdampar di kawasan pokok paya bakau di Pantai Cunang, Tanjung Sepat, Kuala Langat 1 tengah hari ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Sarimah Jamil berkata, perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya oleh sekumpulan nelayan di kawasan itu.

“Saya dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh sekumpulan nelayan Orang Asli yang mencari teritip ketika air laut surut pagi tadi.

“Penemuan bangkai ikan itu kali pertama setakat ini dan perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan, Mohd Zaki Harun berkata, pihaknya akan ke lokasi untuk mengambil sampel mamalia terbabit.

“Kebiasaannya, kita hanya ambil sampel kerana haiwan itu sudah mati dan bangkainya ditanam di lokasi berhampiran.

“Selepas ditanam dan mereput, kita mengorek semua untuk mendapatkan tulangnya.

“Di perairan Selat Melaka sememangnya ada ikan lumba-lumba bermain-main dan kemungkinan ia spesis sama iaitu ‘Bottlenose’,” katanya.

Mohd Zaki berkata, penemuan bangkai mamalia laut itu kali pertama dilaporkan di daerah itu.

Pada Mac 2005, penduduk di Pantai Tanjung Rhu, Pulau Carey, secara tiba-tiba menjadi tumpuan penduduk tempatan berikutan penemuan bangkai seekor ikan paus yang terdampar di situ.

Ikan paus itu berukuran 12.8 meter panjang dan 2.8 meter lebar dan dipercayai daripada spesis paus Minke pernah dilihat di perairan New Zealand dan dipercayai tersesat ke perairan negara ini.

Berdasarkan kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, terdapat sekurang-kurangnya lapan spesies mamalia laut di perairan Semenanjung Malaysia yang mempunyai masa depan yang tidak terjamin.

Ia antaranya ikan lumba-lumba jenis Indo-Pacific Humpback, Irrawaddy, Finless, Bottlenose dan Long-Snouted Spinner.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 7:24 PM
Bangkai ikan lumba-lumba yang ditemui nelayan hari ini. FOTO Ihsan Pembaca