Abdul Zaki (depan, tiga dari kiri) memegang salinan laporan polis yang dibuat mereka. FOTO Zulkepli Osman
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


DUA puluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan serta parti politik di Pahang membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook (FB) yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Dalam status Facebook itu, pengguna yang menggunakan nama Facebook ‘Desmond Yongkor’ memuat naik kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan semalam.

Antara yang membuat laporan adalah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang; Pertubuhan Ikatan Amal Islami Negeri Pahang; Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Negeri Pahang; Pejabat Agama Daerah Kuantan; UMNO Bahagian Kuantan; ABIM Pahang; WADAH Pahang; Malaysia Relief Agency Negeri Pahang serta Pertubuhan Akademi Pendidikan Indera Mahkota.

Wakil kumpulan itu, Mohd Sharil Abdullah berkata, perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan terhadap Yang di-Pertuan Agong oleh pengguna laman sosial.

“Perkataan sebegini tidak sepatutnya dikeluarkan kepada pembesar dan pemimpin negara terutama Ketua Negara Raja Berpelembagaan yang semestinya dihormati rakyat jelata.

“Sehubungan itu kami menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas kepada pemilik akaun serta sesiapa saja yang membuat penghinaan kepada Tuanku selaku Ketua Agama Islam Pahang dan Malaysia umumnya,” katanya ditemui selepas membuat laporan polis.

Sementara itu, Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain meminta semua masjid di daerah itu membuat laporan polis terhadap pengguna laman sosial berkenaan.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana Yang di-Pertuan Agong seharusnya dihormati oleh semua pihak.

“Janganlah sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang menghina Yang di-Pertuan Agong atau Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Bukit Aman serta beberapa jabatan kerajaan lain untuk mengesan suspek.

“Siasatan segera akan dilakukan bagi mengesan suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 6:12 PM