Shukri (dua dari kiri) mendengar penerangan Setiausaha MDHS, Awaluddin Zakaria (dua kanan) di kolam takungan sisa ladang ayam. Gambar kecil, air kolam yang tercemar. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


CECAIR hitam, likat, dipenuhi jentik-jentik dan berbau busuk. Itu keadaan tiga kolam takungan sebuah ladang ternakan ayam di Kalumpang, Hulu Selangor.

Malah, ada antaranya mempunyai bangkai ayam dan dibiarkan dalam saluran longkang ke kolam takungan.

Bau busuk di kawasan itu boleh dihidu bermula dari pagar utama ladang berkenaan yang terletak kira-kira satu kilometer.

Penduduk Kampung Gumut dan sekitarnya mendakwa bau busuk dan cecair kolam takungan itu dibiarkan mengalir ke Sungai Gumut, memaksa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Syarikat Air Selangor (AIS) dan Jabatan Veterinar melakukan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelepasan air sisa yang tidak diproses berwarna hitam ke dalam sungai selain pengurusan sisa dan kolam takungan yang tidak teratur di

ladang itu.

Yang Dipertua MDHS Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya mengambil tindakan menutup ladang berkenaan disebabkan kegagalan pengurusan ladang menjaga kebersihan.

“Kami sudah beberapa kali melakukan pemeriksaan di ladang berkenaan bagi melihat sama ada aduan diterima daripada penduduk sekitar adalah benar.

“Ketika pemeriksaan dilakukan pada 10 Januari lalu, kami mendapati sistem pelepasan kolam takungan ladang itu tidak diselenggara hingga berlaku limpahan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi penutupan ladang itu, hari ini.

Terdahulu, operasi bermula 10 pagi disertai 46 wakil MHDS bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Shukri berkata, penutupan ladang itu hasil keputusan Mesyuarat Penuh MDHS mengikut Seksyen 43 (1) (b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MHDS) 2007.

“Pengurusan ladang diberikan tempoh 14 hari untuk memastikan tiada pelepasan sisa atau kumbahan, sama ada dalam bentuk pepejal atau cecair ke dalam sungai berkenaan.

“Lesen ladang turut digantung sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan pihak pengurusan mematuhi syarat,” katanya yang memberitahu ladang itu berkeluasan 100 ekar dan mempunyai 800,000 ayam dewasa dan lebih 200,000 anak ayam.

Semua ternakan itu boleh menghasilkan lebih 500,000 telur setiap hari.

Menurutnya, ia tindakan pertama diambil pihaknya kerana tindakan sama pernah diambil pada September 2017.

“Kita akan buka kertas siasatan dan hantar ke pendakwaan sekiranya pihak ladang gagal patuhi arahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 5:18 PM