YANG di-Pertuan Agong berkenan beramah mesra bersama rakyat selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru. FOTO BERNAMA
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba baginda jam 1.12 tengah hari diiringi Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Khutbah Jumaat bertajuk ‘Raja Di Daulat, Negara Dimartabat’ disampaikan oleh Imam Masjid Kampung Baru, Muhammad Asem Salleh Sani dan memimpin solat Jumaat, bersama kira-kira 7,000 jemaah.

Selesai solat Jumaat, Seri Paduka kemudian berkenan beramah mesra dengan jemaah sebelum berangkat meninggalkan masjid kira-kira 2.20 petang.

Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 24 Januari lalu.

Seri Paduka menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 6 Jan lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 4:45 PM