KEDIAMAN penduduk di Kampung Tambulig. FOTO ihsan Azhar Ab Shukur
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my


KEPERLUAN asas seperti bekalan elektrik, air, jalan raya dan pembangunan sekolah antara agenda utama kepimpinan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) selepas termeterainya Undang-Undang Organik Bangsamoro.

Pengasas EZ Qurban Sdn Bhd, Azhar Ab Shukur yang kini berada di Basilan, Filipina berkata, dengan termeterainya undang-undang baru itu, pembentukan kerajaan Bangsamoro sedang berlangsung.

“Saya dimaklumkan, sebaik kerajaan Bangsamoro dibentuk pembangunan keperluan asas akan segera dilakukan. Namun, kerajaan baru pasti memerlukan dana atau bantuan antarabangsa termasuklah Malaysia.

“Di Basilan contohnya, ketiadaan bekalan elektrik dan air antara perkara utama yang perlu diatasi segera.

“Kebanyakan rumah penduduk masih menggunakan pelita minyak tanah. Hanya segelintir yang berkemampuan saja gunakan mesin jana kuasa," katanya.


ASRAMA pelajar pondok di Basilan. FOTO ihsan Azhar Ab Shukur

Azhar berkata, hasil kunjungannya di beberapa perkampungan di Basilan seperti Kampung Tambulig mendapati penduduk masih bergantung kepada perigi atau pam air sumbangan rakyat Malaysia yang disalurkan melalui EZ Qurban.

“Mereka akan angkut air berkenaan ke rumah masing-masing setiap hari," katanya.

Azhar berkata, kebanyakan perkampungan di Basilan tidak mempunyai sekolah.

“Mereka hanya punya satu atau dua pondok yang amat daif. Contohnya, dewan belajar di sini dibina daripada kayu atau buluh serta beratap rumbia. Ia terpaksa dibina secara terbuka (tiada dinding) kerana tiada bekalan elektrik.

"Asrama pelajar juga amat daif. Mereka tidur beralaskan lantai saja. Guru yang mengajar pula tiada gaji," katanya.


MASJID di Basilan. ihsan Azhar Ab Shukur

Untuk rekod, pungutan suara membabitkan kira-kira 2.8 juta penduduk di selatan Filipina yang berlangsung pada 21 Januari lalu membolehkan pembentukan undang-undang baru di wilayah berkenaan.

Undang-undang baru Bangsamoro lebih berkuasa berbanding Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) kerana mempunyai parlimen sendiri, kuasa eksklusif yang sebelum ini dipegang Manila serta pendapatan hasil tempatan lebih besar.

Azhar berkata, kebanyakan penduduk yang ditemuinya berharap masalah utama berkenaan dapat diatasi secara berperingkat.

Dalam perkembangan sama, Azhar berkata, dia menyeru syarikat swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan antarabangsa supaya membantu kerajaan Bangsamoro.

"Sebelum ini NGO Malaysia dan antarabangsa kurang salurkan bantuan ke sini disebabkan adanya ancaman keselamatan.

"Saya rasa dengan pembentukan kerajaan baru, masalah itu dapat diatasi dan inilah masa yang sesuai untuk bersama membantu mereka," katanya.

Untuk rekod, pembentukan kerajaan Bangsamoro itu akan menamatkan perjuangan bersenjata MILF yang mempunyai 35,000 tentera dengan pemimpinnya memegang jawatan dalam kerajaan baharu.

Etnik Moro yang berjumlah enam juta dianggap minoriti di Filipina yang mempunyai 100 juta penduduk. Ia gabungan pelbagai kaum dan etnik di Mindanao namun dikenali sebagai etnik Moro kerana mengamalkan Islam di negara yang majoriti penduduk beragama Kristian.

Berita berkaitan

Detik bersejarah Bangsamoro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 3:20 PM