GAMBAR hiasan
BERNAMA

PEMBAYAR cukai yang menerima surat atau emel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dinasihati supaya tidak bimbang, sebaliknya menghubungi agensi itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini berkata, program itu menawarkan kadar penalti serendah 10 peratus dan 15 peratus ke atas amaun cukai tambahan perlu dibayar yang merangkumi beberapa kategori pembayar cukai.

Katanya, kategori itu adalah pembayar cukai berdaftar yang gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP); Borang Nyata Petroleum (BNP) dan Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) secara teratur.

Tawaran itu turut diberi kepada pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT namun tidak membuat pengisytiharan cukai yang betul seperti terdapat keraguan amaun pendapatan atau keuntungan pelupusan harta tanah (terkurang lapor pendapatan) atau keraguan amaun perbelanjaan dan pelepasan cukai yang dituntut (terlebih tuntut) serta pembayar duti yang gagal membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan.

“Kira-kira 8.3 juta surat dan emel yang dikeluarkan LHDN kepada pembayar cukai berdaftar adalah makluman berkenaan PKPS yang mula dilaksanakan pada 3 November 2018 dan akan berakhir 30 Jun depan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019,” katanya.

Bagaimanapun, Sabin berkata, pembayar cukai yang sudah melaporkan pendapatan, perbelanjaan dan pelepasan cukai sepatutnya kepada LHDN serta yang sudah membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan, boleh mengabaikan surat atau emel pemakluman itu.

Menurutnya, pengakuan secara sukarela yang dibuat dalam tempoh program itu juga akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada pihak LHDN.

Pada masa sama, LHDN turut menasihatkan pembayar cukai agar berhati-hati dengan sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program berkenaan.

“Pembayar cukai boleh mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut mengenai program ini dengan mengunjungi Pejabat LHDN berhampiran; menghubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara); atau menghantar emel pertanyaan kepada pengakuansukarela@hasil.gov.my,” katanya.

Selain Malaysia, program itu sudah dilaksanakan lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jerman, Afrika Selatan dan Indonesia bagi memberi peluang rakyat tampil membuat pengakuan sukarela.

Sabin berkata, ia juga selaras inisiatif Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam melaksanakan pertukaran maklumat di bawah Country-by-Country Reporting (Pelaporan Mengikut Setiap Negara) yang bermula di Malaysia pada September 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:56 AM