Mohamed Farid Noh
farid_noh@nstp.com.my


TEGURAN bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin supaya menteri tidak bergaduh sesama sendiri secara terbuka sudah diambil maklum barisan pemimpin negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, barisan jemaah menteri juga berlapang dada dan akan mengambil cakna teguran dibuat tokoh negara berkenaan.

"Kami (menteri) mengambil maklum dan cakna teguran diberikan Tun (Daim). Terima kasih kerana sudi memberikan teguran dan tunjuk ajar kepada kami.

"Nasihat Tun sebagai seorang tokoh berpengalaman amat penting dan berguna buat kami (menteri) yang masih baharu dan akan dijadikan pedoman di masa hadapan, " katanya selepas program edaran buah limau di Pasar Jumaat Simpang Renggam, hari ini.

Pada program itu, Maszlee mengagihkan kira-kira 40 kotak limau mandarin kepada pengunjung serta peniaga Pasar Jumaat selain beramah-mesra dengan mereka.

Rabu lalu, Daim dilaporkan menegur sikap sesetengah menteri yang gemar bergaduh sesama sendiri secara terbuka.

Daim dilaporkan berkata, jika perkara itu terus berlaku, ia hanya akan menimbulkan rasa muak rakyat terhadap sikap menteri kerajaan baharu.

Berita berkaitan

'Sudah-sudahlah gaduh'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:01 AM