ISKANDAR (kanan) bersama Timbalan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Rosli Ahmad (dua dari kiri) meneliti topi keledar yang dirampas.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Kelihatan cantik pada luaran namun mudah pecah dan mengundang maut kepada pemakai. Itu bahaya menanti penunggang motosikal yang masih memilih menggunakan topi keledar ‘mudah retak’ dijual murah di pasaran.

Kebanyakan topi keledar tanpa kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad itu menyumbang kepada punca kematian mangsa kemalangan jalan raya saban tahun.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya memandang serius isu itu dan menyerbu beberapa premis yang dikesan mengimport serta mengedarkan topi keledar berkenaan.

Katanya, terbaharu kelmarin, sepasukan pegawai Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP melakukan serbuan terhadap dua premis perniagaan yang tidak mematuhi penandaan standard keselamatan ke atas topi keledar motosikal dikuatkuasakan KPDNHEP.

“Operasi pertama membabitkan sebuah premis perniagaan di Setapak, di sini, selain sebuah premis perniagaan di Klang, Selangor.

“Operasi ini dijalankan susulan aduan awam terhadap penandaan standard keselamatan digunakan ke atas topi keledar motosikal dijual di premis terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak KPDNHEP melakukan risikan selama sebulan sebelum mengenal pasti premis itu yang menjadi transit penyimpanan topi keledar motosikal haram sebelum diedarkan ke premis perniagaan lain di seluruh Malaysia.

“Hasil serbuan di premis di Setapak, pihak kami berjaya merampas 162 unit topi keledar pelbagai jenama bernilai lebih RM56,000. Manakala, serbuan di premis di Klang, kami merampas 317 unit topi keledar bernilai lebih RM120,000,” katanya.

Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 29 Akta Perihal Dagangan 2011 Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012 kerana disyaki membekalkan atau menawarkan untuk dibekalkan topi keledar motosikal yang tidak mempunyai penandaan Standard Malaysia.

“Syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

“Orang ramai juga disarankan berhati-hati dan memastikan topi keledar motosikal yang dibeli mematuhi standard keselamatan dikuatkuasakan oleh kementerian.

“Pengguna boleh melaporkan aduan melalui talian hotline 1 800 886 800 atau e-aduan di http://e- aduan.kpdnhep.gov.my atau aplikasi WhatsApp 019 2794317,” katanya.

caption

Pix 1: Datuk Iskandar (kanan ) meneliti topi keledar haram dirampas bersama Timbalan Pengarah bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosli Ahmad (kiri)

Pix 2: Timbalan Pengarah bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosli Ahmad ( dua dari kiri) bersama Datuk ISkandar (kanan) meneliti

topi keledar dirampas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 9:29 AM