Penguat kuasa KPDNHEP Perak ketika pemeriksaan di kedai runcit itu, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP Perak.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my

SEORANG peniaga runcit di Perak disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 selepas didakwa menyeleweng dengan menyimpan barang kawalan bersubsidi melebihi tempoh sepatutnya.

Tindakan diambil susulan serbuan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak ke atas premis itu yang terletak di Jalan Gopeng-Kampar dekat Ipoh, semalam.

Dalam pemeriksaan itu, penguat kuasa merampas 2,108 kilogram (kg) gula dan 1,925 kg tepung yang bernilai keseluruhan RM10,795.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, pihaknya menerima aduan dan maklumat awam mengenai peniaga itu yang disyaki menyeleweng dalam penjualan barang kawalan bersubsidi.

“Semua barangan ini disimpan di premis itu untuk dijual kepada pelanggan sekitar Kampar dan Gopeng, tetapi disimpan lebih tempoh dan kegiatan dipercayai dilakukan sejak lima ke enam bulan lalu.

“Pemilik premis tahu bahawa menyimpan barang kawalan melebihi had dibenarkan lesen adalah salah, tetapi tetap melakukannya. Dia dapatkan bekalan dari pemborong di Ipoh dan Kampar.

“Antara faktor menyumbang peniaga mahupun pemborong melakukan kegiatan itu adalah sikap sambil lewa serta mementingkan keuntungan semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, mengikut peraturan, peniaga runcit hanya dibenarkan menyimpan barang kawalan seperti tepung gandum, gula dan minyak masak tidak melebihi 50kg bagi setiap barangan.

Susulan itu, siasatan dibuka mengikut Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 selain Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 5:42 PM