Penguat kuasa MBSA memeriksa restoran dalam operasi di Seksyen 7. FOTO Ihsan MBSA
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


SEBUAH restoran yang beroperasi di Seksyen 7, Shah Alam diarah tutup dua minggu bermula hari ini kerana beroperasi dalam persekitaran kotor.

Arahan itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam operasi bersepadu membabitkan Jabatan Agama Islam

Selangor (JAIS), Jabatan Imigresen Selangor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, operasi itu membabitkan dua premis di sekitar Seksyen 7.

Beliau berkata, dalam operasi itu, sebuah premis sudah diarahkan tutup mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas markah penilaian kebersihan premis bawah 50 peratus.

“Kami turut mengeluarkan lima notis amaran serta lima kompaun dalam pemeriksaan hari ini.

“Satu kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan iaitu tiada suntikan TY2 (anti-typhoid) dan kesalahan ini mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Establishmen Makanan MBSA 2007.

“Tiga kompaun membabitkan kesalahan membuang sisa makanan ke dalam longkang awam, tidak menggunakan tong sampah ditetapkan dan tandas tidak diselenggara dengan baik mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan.

“Satu kompaun pula dikeluarkan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan kerana menggunakan lorong belakang sebagai tempat penyediaan makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrin berkata, operasi seperti itu akan dijalankan secara berkala setiap bulan bagi memastikan premis makanan di Shah Alam sentiasa bersih dan mematuhi syarat ditetapkan.

Katanya, hasil pemantauan pihaknya, masih terdapat segelintir pemilik premis makanan mengabaikan tahap kebersihan khususnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 5:33 PM