NOORZAINY (dua dari kanan) menunjukkan rokok dirampas daripada kumpulan curi motosikal dan pecah rumah serta restoran pada sidang media di IPD SPU di Kepala Batas, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


ENAM lelaki ditahan selepas kegiatan curi motosikal dan pecah rumah serta restoran yang dilakukan mereka di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) sejak tahun lalu, akhirnya terbongkar.

Kejadian curi motosikal dan pecah rumah serta restoran yang semakin berleluasa menyebabkan polis melancarkan operasi memburu suspek sejak 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata hasil operasi pertama dilakukan, polis menahan tiga remaja lelaki berusia 16 hingga 17 tahun yang sudah tidak bersekolah dengan menggelarkan ‘Geng SYM Jajar’.

“Ketiga-tiga mereka ditahan di sebuah rumah dekat Ampang Jajar pada 1 pagi 26 Januari dan siasatan mendapati mereka terbabit dalam kes pecah restoran dan rumah di sekitar Butterworth termasuk terbaru sebuah restoran di Taman Bagan membabitkan kerugian RM5,000.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 90 kotak rokok pelbagai jenama dan sejumlah syiling dipercayai hasil kegiatan pecah restoran serta pelbagai komponen motosikal dicuri dan dileraikan geng berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU di Kepala Batas, hari ini.

Noorzainy berkata, susulan daripada tertangkapnya tiga suspek itu membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki berusia 17 hingga 23 tahun di Tasek Gelugor pada 11 pagi kelmarin dan merampas tiga motosikal serta lima rangka motosikal curi.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap tiga suspek berkenaan, pihaknya merampas 12 motosikal yang dicuri dan sedang mengesan beberapa motosikal lain yang dicuri mereka.

“Semua nilai rampasan dianggarkan RM60,000 dan siasatan mendapati geng itu terbabit dalam 26 kes curi motosikal dan 15 kes pecah rumah serta kedai dan 10 kes memecah kerusi mesin urut di daerah ini.

“Modus operandi digunakan mereka adalah mencuri motosikal sebelum menjualnya pada harga murah atau meleraikan komponennya dan menjual kepada geng mat rempit.

“Semua yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 3:59 PM