PROTON Perdana V6 dinaiki suspek terbalik. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


SEORANG anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) cedera ketika mengejar seorang penjenayah yang melarikan diri berhampiran sebuah flat Taman Bukit Angsana, Kajang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan sepasukan anggota menaiki tiga kereta peronda polis (MPV) dan anggota URB cuba menahan seorang suspek kes curi kenderaan bersabit laporan di Pandan Indah yang menaiki sebuah Proton Perdana V6 berwarna hitam jam 7.15 pagi tadi.

“Ketika insiden mengejar itu, suspek berusia 31 tahun melanggar motosikal ditunggang seorang anggota URB Batu 9 Cheras menyebabkan anggota terbabit cedera pada kaki kiri.

“Suspek juga melanggar beberapa kenderaan orang awam dan sebuah kedai di lokasi kejadian hingga menyebabkan kereta dinaikinya terbalik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


ANGGOTA URB cedera selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta dinaiki suspek. FOTO ihsan polis

Ahmad Dzaffir berkata, ketika kejadian anggota MPV melepaskan tiga das tembakan untuk mempertahankan diri sebelum suspek berkenaan berjaya ditahan.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan termasuk dalam senarai individu dikehendaki pihak polis.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana polis cubaan bunuh dan kes kecurian kenderaan serta pecah rumah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Saksi boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Zazali Kenek di talian 019-7100662,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 1:14 PM