MAJLIS Kesyukuran Pemeteraian Undang-Undang Organik Bangsamoro yang berlangsung di Basilan, Filipina. FOTO ihsan Azhar Ab Shukur.
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my


“SAYA gagal menahan air mata. Ia satu detik bersejarah buat Bangsamoro, tidak pernah mimpi pun untuk menjadi sebahagian daripadanya,” kata Pengasas EZ Qurban Sdn Bhd, Azhar Ab Shukur.

Azhar dan isteri, Noradzimah Hassanuddin adalah jemputan khas mewakili rakyat Malaysia bagi menyaksikan Majlis Kesyukuran Pemeteraian Undang-Undang Organik Bangsamoro yang berlangsung di Basilan, Filipina, hari ini.

Untuk rekod, pungutan suara membabitkan kira-kira 2.8 juta penduduk di selatan Filipina yang berlangsung pada 21 Januari lalu membolehkan pembentukan undang-undang baru di wilayah berkenaan.

Undang-undang baru Bangsamoro lebih berkuasa berbanding Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) kerana mempunyai parlimen sendiri, kuasa eksklusif yang sebelum ini dipegang Manila serta pendapatan hasil tempatan lebih besar.

Azhar berkata, dia dan isteri menerima jemputan khas daripada Pengarah Pasukan Polis Basilan, Bahrul Ulum Tungao yang juga pimpinan kanan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk menghadiri majlis penuh bersejarah itu.

“Dokongan yang sentiasa diberikan EZ Qurban sejak 2009 kepada Bangsamoro dengan menyalurkan korban, akikah, zakat, fidyah, bantuan pendidikan selain menyediakan perigi dan pam air antara sebab kami dijemput menyaksikan detik bersejarah ini,” katanya menjelaskan, dia dan isteri turut dianugerahkan pingat Bangsamoro atas sumbangan mereka selama ini.

Turut hadir, wakil Pengerusi MILF, Ibrahim Mansur dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Genjatan Senjata Terhadap Penamatan Permusuhan, Abbas Sulung.

Azhar berkata, pada awal pembabitannya dalam menyalurkan bantuan kepada Bangsamoro, ia terpaksa dilakukan secara tertutup.

“Awal (2009) dulu datang sini sembunyi-sembunyi kerana bimbang keselamatan dan ancaman pengganas. Kini menjadi jemputan rasmi kerajaan Bangsamoro....ia suasana berbeza.

“Saya harap, pembentukan kerajaan Bangsamoro ini akan membuka lebih banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan antarabangsa serta pihak swasta ke bumi Mindanao.


BARISAN Pembebasan Islam Moro adalah kumpulan pemisah terbesar di Mindanao. FOTO Agensi

“Banyak keperluan asas masih diperlukan mereka seperti rumah, jalan raya, elektrik, air serta pendidikan. Bantuan luar pasti amat diperlukan,” katanya.

Katanya, dia berharap keamanan sepenuhnya dapat diterjemah dengan pembentukan kerajaan Bangsamoro.

“Kita sedar, kerajaan baru ini pasti akan diganggu pihak yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, kejadian bom di gereja dan masjid di Zamboanga dua hari lalu dipercayai antara sabotaj yang dilakukan mereka.

“Namun, etnik Moro perlu sedar bahawa hak mentadbir sendiri dalam menguruskan hasil, percukaian dan lain-lain kuasa sebagai kerajaan autonomi adalah nikmat baru buat mereka. Sokongan rakyat diperlukan sepenuhnya dalam menjayakan apa saja direncana pimpinan,” katanya.

Untuk rekod, pembentukan kerajaan Bangsamoro itu akan menamatkan perjuangan bersenjata MILF yang mempunyai 35,000 tentera dengan pemimpinnya memegang jawatan dalam kerajaan baharu.

Etnik Moro yang berjumlah enam juta dianggap minoriti di Filipina yang mempunyai 100 juta penduduk. Ia sebenarnya gabungan pelbagai kaum dan etnik di Mindanao namun dikenali sebagai etnik Moro kerana mengamalkan Islam di negara yang majoriti penduduk beragama Kristian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:28 PM