MAYAT warga Indonesia ditemui pekerja ladang. (Gambar kecil) Ani Ekasari. Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


MAYAT wanita warga Indonesia ditemui dibungkus di dalam kain selimut dan ditinggalkan di tepi sebuah ladang getah di Kampung Kemuning Hutan Percha, di Alor Gajah, hari ini.

Mayat wanita berusia 45 tahun berasal dari Bandung itu ditemui seorang penyelia ladang kira-kira jam 11.45 pagi.

Turut ditemui bersama mayat wanita berkenaan dokumen dan rekod perubatan miliknya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, wanita bernama Ani Ekasari itu ditemui lengkap berpakaian di dalam bungkusan selimut dan tilam.

“Pemeriksaan awal dilakukan anggota pasukan forensik mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat sakit sebelum ditinggalkan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya akan memperoleh laporan penuh sebaik proses bedah siasat dilakukan esok.

“Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang mengenali mangsa untuk tampil memberi maklumat bagi mengesan waris wanita ini serta pengecaman identiti.

“Semakan dengan Jabatan Imigresen akan dilakukan, selain kita turut berhubung dengan pihak kedutaan Indonesia,” katanya.

ALOR GAJAH 30 JANUARI 2019. Mayat mangsa, Ani Ekasari, 46, warga Indonesia ditemui pekerja ladang di Kampung Kemuning Hutan Percha. NSTP/ IHSAN PEMBACA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 9:23 PM