Nasri (dua dari kiri) Selamat dan Aris (tengah) menunjukkan kepingan logam bertulis ayat al-Quran yang mengandungi kesalahan dari segi baris dan huruf. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki
am@hmetro.com.my


TIDAK hanya menggantung hiasan ayat al-Quran yang salah, sebuah restoran di Pontian dipercayai menggunakan kalimat suci itu bercampur dengan nombor dikenali sebagai wafaq untuk pelaris jualan.

Kesalahan itu dikesan dalam operasi dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Pejabat Kesihatan, Pejabat Agama dan Majlis Daerah Pontian (MDP) yang dijalankan 15 Januari hingga hari ini.

Jawatankuasa Pemantauan dan Penguat Kuasa Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Nasri Selamat berkata, ukiran ayat suci al-Quran atas logam itu digantung di kaunter bayaran restoran terbabit.

Menurutnya, Paparan ayat yang ditemui itu diserahkan kepada bahagian penyelidikan JAINJ untuk tindakan selanjutnya.

“Difahamkan, ada yang menggelarnya wafaq kerana jika dilihat dari dekat, ada nombor, huruf dan ayat (al-Quran) yang diputuskan.

“Pemeriksaan juga mendapati al-Quran yang dipamerkan itu terdapat kesalahan dari segi baris dan huruf,” katanya pada sidang media selepas operasi itu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Johor, Aris Mamat.

Nasri berkata, premis itu melakukan kesalahan mengikut Akta Pencetakan al-Quran 1986 dan pihaknya menasihatkan orang ramai, termasuk pengusaha premis supaya tidak mempamerkan teks al-Quran yang terdapat kesalahan.

Dalam operasi itu, sebuah lagi premis diarahkan ditutup dua minggu oleh Pejabat Kesihatan daerah kerana dapur yang terlalu kotor, manakala tujuh premis diberikan amaran kerana tahap kebersihan tidak memuaskan.

Selain dapur yang kotor, kesalahan lain yang dikesan dilakukan pengusaha premis itu, antaranya ada pekerja tidak mempunyai suntikan typhoid dan tidak memakai apron.

Sepanjang operasi itu, sebanyak 95 premis makanan diperiksa, termasuk restoran yang beroperasi 24 jam.


Aris (dua dari kiri) bersama pegawainya memeriksa proses penyediaan makanan di sebuah restoran di Pontian. FOTO Togi Marzuki

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 7:13 PM