STATUS yang dimuat naik mengenai kiswah Kaabah. FOTO Ihsan Facebook Najib Razak
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


DATUK Seri Najib Razak dijangka mempamerkan kain kiswah Kaabah diterimanya daripada Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al-Saud pada 201 kepada khalayak.

Menurutnya, hadiah diterima secara peribadi daripada Almarhum Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Kota Suci itu adalah kain kiswah yang digunakan untuk melindungi Kaabah bagi 2009.

“Pada masa ini, kain kiswah ini masih disimpan dengan baik oleh saya.

“Saya masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak untuk mempamerkannya di suatu galeri atau muzium tempatan dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Kain kiswah dibuat setiap tahun dengan menggunakan 670 kilogram (kg) benang sutera serta benang emas dan perak seberat 150 kg.

Najib berkata, bahagian kain kiswah dihadiahkan kepadanya amat besar dengan berat 170 kg.

“Ia bahagian yang paling berharga dan bermakna kerana ia bahagian Multazam yang ada banyak tenunan dan hiasan benang perak serta benang emas untuk menutup pintu Kaabah.

“Oleh itu kepada saya, bahagian kiswah ini boleh dianggap sebagai tidak boleh dinilaikan harga tetapi ada yang memberitahu saya ia bernilai sekurang-kurangnya AS20 juta dolar (RM82 juta),” katanya.

Katanya, beliau pernah mempamerkan kiswah itu di Seri Perdana untuk seketika tetapi tidak pernah memaklumkan kepada media tempatan mengenai pemberian hadiah berkenaan kepadanya.

“Ini kerana Almarhum merasakan kebimbangan baginda perkongsian mengenai pemberian ini mungkin ada impak kepada negara Islam yang lain,” katanya.

Menurutnya, sebab yang sama juga diberi Almarhum supaya beliau tidak mendedahkan baginda pernah memberikan 20,000 tempat haji tambahan (10,000 setiap tahun untuk dua tahun) kepada Malaysia.

“Kuota tambahan istimewa 20,000 inilah yang digunakan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menghantar umat Islam yang mereka biayai bagi menunaikan ibadah haji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 6:34 PM