GEGANTUNG ucapan ‘Daulat Tuanku’ merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah dan mengalu-alukan keberangkatan Al-Sultan Abdullah sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke- 16. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@nstp.com.my


ISTIADAT memuliakan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Abdulaziz, Kuantan akan bermula 6.30 pagi esok.

Istiadat berkenaan dimulakan dengan ketibaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Baginda kemudiannya berangkat ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jam 7 pagi dan baginda akan disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku.

Tembakan Meriam Kehormatan sebanyak 21 das akan dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ketua Pasukan Kawalan Kehormatan tampil memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memeriksa kawalan kehormatan.

Kawalan Kehormatan Utama kemudian akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku buat kali kedua dan selepas itu Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman membaca doa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya menaiki pesawat khas untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 7.50 pagi.

Setibanya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira 8.30 pagi.

Baginda akan disambut oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datin Seri Norizam Che Mohd Nor dan barisan pegawai kanan kerajaan sebelum menaiki kenderaan menuju ke Dataran Parlimen kira-kira 8.50 pagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyambut ketibaan baginda yang dijangka tiba di Dataran Parlimen 9.30 pagi.

Tiupan nafiri mengiringi baginda menuju ke pentas diraja sambil diiringi Pasukan Pengawal Tombak, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri pengiring.

Kawalan Kehormatan Utama menyembahkan ‘Hormat Diraja’ (lagu Negaraku dimainkan) oleh Pancaragam ATM, serentak itu bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dipecahkan di sebelah kanan pentas diraja dan tembakan meriam 21 das dimulakan.

Ketua Kawalan Kehormatan kemudian tampil menghadap memohon perkenan baginda memeriksa kawalan kehormatan utama, diikuti memberi perintah ‘kalih senjata’ untuk menukarkan senjata ke tangan kiri dan bersedia bacaan doa yang akan disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selepas itu, baginda akan berangkat ke Istana Negara dengan menaiki kereta diraja pada jam 10 pagi.

Jika hujan, upacara kawalan kehormatan dibatalkan dan istiadat ketibaan akan diadakan di ruang legar Pintu 1, Blok Utama, Bangunan Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 6:07 PM