MANGSA cedera parah akibat dipercayai dirempuh motosikal. FOTO ihsan pembaca
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my


PEKERJA sebuah hotel parah di kepala selepas dipercayai dirempuh sebuah motosikal di kawasan lintasan pejalan kaki di Jalan Pernu, Melaka, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Mohd Azrul Faiz Jawahir, 35, mengalami pendarahan di kepala, manakala penunggang motosikal, Surianor Suhaimi, 19, luka di tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda Wave dari arah Telok Mas menuju ke Umbai itu secara tiba-tiba merempuh pekerja hotel berkenaan yang berada di kawasan lintasan pejalan kaki.

Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Saya menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, terutama penunggang motosikal apabila melalui lintasan pejalan kaki.

“Jumlah kenderaan akan meningkat kerana musim cuti dan lebih ramai pengguna akan berada di jalan raya, termasuk pejalan kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afzanizar berkata, motosikal terbabit ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 3:02 PM