ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan tangan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


JARI tangan kiri seorang pekerja warga asing hancur akibat tersepit pada mesin pengisar daging di sebuah restoran di Semabok, di Melaka, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian 5.30 petang itu, pekerja warga Yaman berusia 32 tahun berkenaan sedang melakukan kerja mengisar daging.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Md Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Melaka pada jam 5.44 petang.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan 12 anggota termasuk pegawai bergegas ke restoran terbabit.

Katanya, bomba terlebih dulu membuka sebahagian komponen mesin bagi memudahkan kerja menyelamat.

“Ketika kerja mengeluarkan pergelangan tangan yang tersepit dilakukan, mangsa diberikan bantuan oksigen dan ubat penahan sakit oleh pegawai perubatan.

“Sebaik pergelangan tangannya berjaya dikeluarkan, kita dapati empat jarinya tercedera, malah ada yang sudah hancur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba mengambil tempoh selama kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan tangan mangsa menggunakan alat pemotong mini hidraulik.

“Sejurus selesai kerja menyelamat, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 12:26 PM