TERTUDUH ketika hadir di mahkamah. FOTO Faiz Anuar
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@nstp.com.my


EKSEKUTIF jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas dua pertuduhan rasuah berkaitan pemalsuan sijil Ijazah Sarjana Muda sebuah universiti swasta, tahun lalu.

Tertuduh, C Vijayakumar, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah berjumlah RM12,500 daripada Mohd Izham Mohd Hashim, 38, sebagai upah mendapatkan sijil Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) di Universiti Multimedia (MMU) atas nama Mohd Amzar Hashim tanpa mengikut prosedur yang betul.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang bukan kakitangan universiti itu turut didakwa menerima suapan RM1,500 daripada Mohd Izham bagi tujuan sama.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sekitar Bangi dan Cyberjaya, masing-masing pada 25 Januari dan 6 April tahun lalu.

Vijayakumar didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam, Badrul Munir Mohd Bukhari.

Mohd Sabri kemudian membenarkan kos ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:21 AM