Daun dan air ketum yang dirampas daripada lelaki warga Thailand. FOTO Maritim Malaysia
Hamzah Osman
cnews@nstp.com.my


TEKONG lelaki warga Thailand ditahan bersama daun ketum dan ubat batuk di kawasan perairan berdekatan Tanjung Kemarong, Langkawi semalam.

Dalam operasi jam 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 51 tahun ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menemui daun ketum 710 gram (g).

Pengarah Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Laksamana Pertama (M) Rozali Mohd Said berkata, pemeriksaan mendapati tekong terbabit memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita menemui dua bungkusan plastik mengandungi daun ketum 710 g dan 10 botol plastik masing-masing mengandungi 500 mililiter (ml) disyaki air ketum di dalam kotak simpanan ikan.

“Turut dirampas empat botol 100 ml cecair hitam dipercayai ubat batuk,” katanya hari ini.

Rozali berkata, bot bersama tekong dan barang rampasan terbabit dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:03 AM