Sebahagian besi dicuri suspek. (Gambar kecil) lori digunakan suspek untuk mencuri. FOTO Ihsan Polis.
Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my


TINDAKAN seorang lelaki meninggalkan lori dan besi yang dicuri membolehkan polis mengesannya sebelum diberkas di sebuah pusat beli-belah di Kulim, hari ini.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan selepas disyaki mencuri besi di kawasan tangki air lama di Taman Kempas bersama dua rakannya, kira-kira 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kegiatan suspek dan rakannya disedari kakitangan syarikat air yang kemudian melakukan pemeriksaan di kawasan itu.

“Mereka ternampak sebuah lori tidak dikenali berwarna putih masuk di kawasan tangki dan pemeriksaan menemui beberapa bahagian besi yang sudah dipotong dengan anggaran berat sekitar satu tan.

“Suspek menyedari kehadiran kakitangan itu kemudian melarikan diri. Mereka diambil seorang individu menaiki Perodua Myvi serta meninggalkan lori di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, siasatan dibuat membolehkan pihaknya mengesan suspek dan menahannya petang, hari ini.

Katanya, suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah dan mengaku terbabit kegiatan curi itu.

“Kita sedang mengesan rakannya yang terbabit dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 8:40 PM